Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hukum Zakat Pendapatan

Hukum Zakat Pendapatan


Oleh : KH. Muhammad Shiddiq al Jawi

Zakat pendapatan dikenali dengan istilah zakah rawatib al-muwazhaffin (zakat gaji pegawai/pekerja) atau zakah kasb al-‘amal wa al-mihan al-hurrah (zakat hasil pekerjaan dan profesion persendirian). (Yusuf Al-Qaradhawi, Fiqh az-Zakah, I/497; Wahbah az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/865; Ali as-Salus, Mausu’ah al-Qadhaya al-Fiqhiyah al-Mu’ashirah, hal. 522; Al-Yazid Ar-Radhi, Zakah Rawatib Al-Muwazhaffin, hal. 17).

Zakat pendapatan menurut penggagasnya didefinisikan sebagai zakat yang dikenakan terhadap setiap pekerjaan atau keahlian profesional tertentu, sama ada dilakukan secara persendirian atau pun bersama orang/lembaga lain, yang menghasilkan pendapatan (wang) serta memenuhi nisab. Contohnya pekerjaan sebagai doktor, perunding, peguam, pensyarah, arkitek, dan sebagainya. (Didin Hafidhuddin, Panduan Praktis Tentang Zakat, Infaq, Sedekah, hal. 103; Zakat dalam Perekonomian Modern, hal. 95).

Menurut al-Qaradhawi nisab zakat pendapatan adalah senilai 85 gram emas dan jumlah yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% daripadanya. Zakat pendapatan dikeluarkan secara terus pada waktu penerimaannya atau setelah dinilai pada sela masa tertentu (contohnya sekali setahun). Sebagai contoh, jika seseorang gajinya Rp500.000/bulan, dia boleh mengeluarkan terus zakat sebanyak 2.5% setelah menerima gajinya setiap bulan. Atau membayar sekali bagi jumlah setahun sebanyak 12 bulan x 2.5% x Rp500.000. (Didin Hafidhuddin, ibid, hal. 104).

Landasan fikih (at-takyif al-fiqhi) zakat pendapatan ini menurut Al-Qaradhawi adalah perbuatan sahabat yang mengeluarkan zakat untuk al-maal al-mustafaad (harta perolehan). Al-maal al-mustafaad adalah setiap harta baharu yang diperolehi oleh seseorang Muslim melalui salah satu cara kepemilikan yang disyariatkan, seperti waris, hibah, upah pekerjaan, dan yang semisalnya. Al-Qaradhawi mengambil pendapat sebahagian sahabat (seperti Ibnu Abbas dan Ibnu Mas’ud) dan sebahagian tabi’in (seperti Az-Zuhri, Hasan Bashri, dan Ma’khul) yang mengeluarkan zakat dari al-maal al-mustafaad pada ketika mereka menerimanya, tanpa menjadikan haul (dimiliki selama satu tahun qamariyah) sebagai syarat. Bahkan al-Qaradhawi menyifatkan hadis yang mewajibkan haul bagi harta zakat adalah lemah, iaitu hadis Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Tidak ada zakat pada harta sehingga berlalu atasnya haul.” (HR Abu Dawud). (Yusuf Al-Qaradhawi, ibid., I/491-502; Wahbah az-Zuhaili, ibid., II/866).

Menurut pentarjihan kami, zakat pendapatan tidak mempunyai dalil yang kuat sehingga hukumnya tidak wajib.

Alasan kami :

Pertama, dalil utama yang disandarkan bagi zakat pendapatan adalah ijtihad sahabat mengenai al-maal al-mustafaad yang tidak mensyaratkan haul. Padahal ijtihad sahabat (mazhab al-sohabi) bukanlah dalil syariah yang kuat (mu’tabar). (Taqiyuddin an-Nabhani, al-Syakhshiyah al-Islamiyah, III/418).

Kedua, pendapat yang lebih kuat (rajih) mengenai al-maal al-mustafaad adalah pendapat jumhur ulama, iaitu harta tersebut tidak wajib dikeluarkan zakatnya sehingga memenuhi syarat berlalunya haul. Inilah pendapat sahabat Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali. Juga pendapat imam mazhab yang empat. (Al-Yazid Ar-Radhi, Zakah Rawatib Al-Muwazhaffin, hal.19; Wahbah az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/866).

Ketiga, tidak tepat penilaian Al-Qaradhawi bahawa hadis tentang haul adalah hadis lemah (dhaif). Al-Qaradhawi sebenarnya mengikuti pendapat Imam Ibnu Hazm yang melemahkan hadis haul dari jalur Ali bin Abi Thalib RA, kerana ada perawi bernama Jarir bin Hazim yang dinilai lemah. (Al-Qaradhawi, Fiqh az-Zakah, I/494; Ibnu Hazm, Al-Muhalla, VI/70). Padahal Ibnu Hazm telah membetulkan semula penilaiannya serta mengakui bahawa Jarir bin Hazim adalah perawi hadis yang sahih. (Ibnu Hazm, Al-Muhalla, VI/74).

Kesimpulannya, zakat pendapatan tidak wajib dalam Islam kerana dalil-dalilnya sangat lemah. Maka wang hasil pendapatan daripada pekerjaan adalah tidak sah dikeluarkan zakatnya saat menerima, tapi wajib digabungkan terlebih dahulu dengan wang yang sudah dimiliki sebelumnya. Zakat baru dikeluarkan setelah wang gabungan tersebut mencapai nisab dan berlalu haul atasnya. (Ali as-Salus, Mausu’ah al-Qadhaya al-Fiqhiyah al-Mu’ashirah, hal. 523). Wallahu a’lam.

Post a Comment for "Hukum Zakat Pendapatan"